Photobucket

apo laee nih...!

apo laee nih...!

20090911

merapu 2

Guru pertama saya dalam dunia kewartawanan, Haji Ikhwan Nasir (Allahyarham), yang ketika itu Ahli Parlimen Pontian, selalu mengingatkan saya supaya mem’biasa-biasa’kan diri dengan ucapan terima kasih.

Sebelum itu, saya melihat terima kasih dalam konteks biasa – seperti yang sering dilihat oleh kebanyakan orang. Ia hanya digunakan dalam keadaan tertentu, yang rasmi dan separa rasmi – termasuk sebagai penutup kata-kata dalam urusan surat menyurat.
Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Allahyarham sedikit berbeza. Terima kasih baginya harus digunakan hatta pada sekecil-kecil perkara.


“Apabila isteri menyediakan minuman, berat sangatkah untuk kita berterima kasih?”


“Apabila isteri menghulurkan pakaian, apa salahnya kita ucapkan terima kasih?”


Ayat itu masih terngiang-ngiang sampai sekarang. Tetapi ketika itu, macam kebanyakan anak muda lain yang agak sedikit brutal, saya kurang mempedulikannya.


Mungkin kerana kurang berterima kasih itulah saya terheret menjadi orang kiri seketika; bukan kiri daripada segi perjuangan, tetapi sangat kiri daripada segi pandangan. Jarang saya bersetuju dengan apa yang kerajaan buat ketika itu; Dasar 70 juta penduduk, Dasar Pengswastaan, Pindaan Perlembagaan yang melibat imuniti Raja-raja Melayu semuanya saya sanggah dengan cara saya.


Seperti ramai orang lain, saya berasa tidak terhutang apa-apa kepada kerajaan dan kerana itu juga tidak perlu menyatakan sebarang terima kasih.


"If you're not Liberal when you're 25, you have no heart. If you're not Conservative when you're 35, you have no brain."-Churchill


Saya barangkali memenuhi tuntutan itu.


Ketika itu.


Semuanya berubah selepas 1993. Selepas melihat Allahyarham Tun Ghafar yang langsung saya tidak kenali dimalukan. Setelah melihat bagaimana luputnya nilai-nilai terima kasih dalam episod itu. Saya berasa terpanggil untuk membantu membetulkan keadaan itu – dengan cara saya, orang kecil yang hampir tidak dikenali sesiapa.


Perkara lain yang saya terfikir ketika itu ialah, anda tidak boleh membaiki rumah yang rosak di dalamnya dengan berdiri –dan bercakap pandai – di luar.
Dan saya pun masuk ke dalam.


Saya kembali ke kanan. Menjadi ada ‘brain’ –kalau benar begitu - lebih awal daripada usia yang disebut oleh Churchill.


Sejak itu saya mula mempraktikkan apa yang Allahyarham guru dan bekas majikan saya pesankan. Saya cuba berterima kasih dengan apa saja yang saya dapat dan saya kecap.
Saya cuba untuk tidak mahu menjadi macam sesiapa sahaja yang tidak pandai berterima kasih.


Pada mulanya ia tidak mendatangkan apa-apa impak. Tetapi lama-kelamaan, sehingga sekarang, saya mulai merasai kesannya; ia membuka laluan pada kita untuk berasa lebih tenang dan aman.


Ya, yang datang bukan selalunya baik. Tidak ada manisnya kalau yang anda buka ialah surat tuntutan tunggakan cukai pendapatan yang angkanya melebihi empat. Tetapi berterima kasihlah. Ia lebih baik daripada meraung dan menangis.


Dengan berterima kasih, kita mengajar diri menghargai apa yang kita ada dan apa juga yang kita dapat. Biar seburuk mana pun yang diperolehi itu, namun jika kita memahami, di sebaliknya pasti ada kebaikan yang tersirat. Jadi, apa salahnya kita berterima kasih atas kebaikan yang dibawa itu.


Mungkin benar, kita ‘berterima kasih’ dalam segala bentuk lafaz syukur yang kita panjatkan kepada Allah Taala.


Tetapi yang perlu ditanya ialah apakah dalam amalan hidup seharian, gerak watak kita mencerminkan sifat orang yang benar-benar berterima kasih.


Renung-renungkanlah.


Apa pun, berterima kasihlah.


Terima kasih akan mengajar kita untuk tidak berasa gusar sewaktu tidak berkasut kerana ia menyedarkan kita yang kita sesungguhnya masih mempunyai kaki.


Terima kasih akan memberi ruang yang lebih luas untuk kita tidur lebih lena hatta dalam waktu yang mungkin suntuk dan pendek. Ia mengajar kita untuk berfikir, ‘sekurang-kurangnya aku masih boleh tidur dan masih boleh lena’.


Jadi berterima kasihlah dengan apa yang anda ada dan dengan apa yang berikan kepada anda.
Jangan takut, terima kasih tidak akan menjadikan anda pasif dan pesimis – kalau anda memahami erti dan nilainya.


TERRRIMAA.....KASSSIIHHH.....!!